Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira
peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan
zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui “hawl” (tempoh
wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih
baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti
Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang
patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid
Adha.
Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai
sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam
menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat
dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.
Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama
sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun
baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.
Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat
kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan
bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi
mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya
dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden
yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu,
syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam
sambutannya:-
* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat
dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia
diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang
jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan
progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya
masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum
kelebihan majlis ilmu.
Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT
berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan
Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah ” Al-‘Adat Muhakkamah”
Ertinya : “Adat yang tidak bercanggah dengan Syara’ boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan”. (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).
Terdapat satu keadah lain berbunyi : ” Innama tu’tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat”
Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak
bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh
majority”. (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)
* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram
yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini
hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan
oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang
baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala
itu, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.
* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam.
Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada
ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan
nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga
memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).
* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara’.
Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai
mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.
Ust Zaharuddin
Klik sini untuk baca artikel 1 Januari jangan disambut!
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Allahumma...
aku berlindung padaMu dari segala rasa SEDIH dan GELISAH...
dan aku berlindung padaMu dari KELEMAHAN dan KEMALASAN...
dan aku berlindung paddMu dari sikap PENGECUT dan BAKHIL...
dan aku berlindung paddMu dari cengkaman HUTANG dan PENINDASAN ORANG...
Amin ya Rabbal alamin...
0 comments: