Ketenangan dan Kebahagiaan
Sesungguhnya kebahagiaan dan kedamaian itu dambaan setiap insan. Bahkan ianya adalah fitrah dan naluri keinsanan. Cubalah bertanya kepada sesiapa pun, tentu jawapannya sama: “Kami mahukan kebahagiaan, kami mahukan ketenangan”. Walau siapa pun dia, baik seorang raja atau hamba sahaya, apakah ia orang yang tinggal di kota atau di dusun, apakah ia orang kaya atau orang miskin. Tidak ada seorangpun manusia yang menginginkan kesengsaraan atau kecelakaan. Hanya mereka yang tidak waras sahaja yang menolaknya.
Setiap orang pasti mempunyai formula kebahagiaan masing-masing. Hari ini jika kita lihat manusia berlumba-lumba mencari sesuatu yang dinamakan kebahagiaan. Bahkan tidak kurang yang terkeliru dalam memandangkan erti kebahagian. Mereka akhirnya bagaikan pencari mutiara di dasar laut; badan penat, hati hampa, tangan kosong tanpa membawa hasil sedikitpun.
Ada yang menyangka bahawa kebahagiaan itu dengan memiliki kecerdasan dan pengetahuan. Ada pula yang beranggapan dengan kesihatan dan kekuatan, harta dan kekayaan. Ada yang beranggapan dengan pengaruh dan kemasyhuran serta berbagai-bagai lagi teori dan formula kebahagiaan. Memang pandangan mata dan zahir manusia sedemikian rupa, mudah mendefinasikannya seumpama menyusun blok-blok kayu lagaknya.
Namun, bahagiakah mereka semua?
Beroleh ketenangankah mereka itu?
Belum tentu, mungkin ya dan boleh jadi tidak.
Kebanyakan manusia mungkin menyangkakan bahawa harta, kuasa, wanita dan pengaruh adalah penentu kebahagiaan dan kedamaian jiwa, namun belum tentu bersamanya bahagia. Justeru, seorang yang tinggal dalam istana yang indah dan mewah, belum tentu lebih bahagia dan tenteram jiwa dari seorang yang tinggal di pondok yang usang. Seorang wanita yang bersuamikan orang kaya belum tentu lebih bahagia dari seorang wanita yang bersuamikan lelaki biasa. Seorang yang mempunyai isteri yang cantik, belum tentu lebih bahagia dari yang mempunyai isteri sekadar sahaja rupa parasnya. Bahkan yang dihidangkan makanan lazat, belum tentu dapat menikmatinya melebihi seorang yang hanya dihidang makanan kebanyakan. Kebahagiaan bukan soal harta, tetapi soal jiwa dan emosi yang dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya.
Sedangkan dunia dan segala isinya tidak akan dapat membawa kebahagiaan ke dalam hati manusia. Jika beroleh bahagia pun, ianya bersifat sementara sahaja.
Jadi, bagaimana mahu memperolehi ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki?
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) menulis di dalam kitabnya yang terkenal Madarij al-Salikin:
“Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan mengadap kepada Allah, padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan perdampingan dengan Allah, padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan dengan-Nya, padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama Allah dan kembali kepada-Nya, padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, menghayati kesabaran sehingga bertemu-Nya, padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingati-Nya, keikhlasan yang benar kepada-Nya”.
Nah! Inilah formula kebahagiaan sebenar.
Kebahagian yang hakiki ialah apabila ada tali hubungan dengan Allah SWT, kerana Dialah yang Maha Berkuasa mencampakkan kebahagiaan dan ketenangan ke dalam hati manusia. Bahagia apabila Allah memanjangkan umurnya serta diberikan nikmat untuk berlaku taat kepada-Nya. Itulah erti kebahagiaan.
Di situlah puncak yang dapat menghantar manusia menghirup sejuknya udara kehidupan berupa kebahagiaan yang hakiki dalam erti kebahagiaan di dunia dan akhirat
Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya itu menggariskan beberapa sumber penting yang akan menghasilkan kebahagiaan kepada manusia. Antaranya:
1. keimanan yang hakiki
2. ketenangan - as-sakinah
3. keamanan batin - jiwa yang tenang
4. pengharapan - atas pahala dan syurga dari ALLAH
5. kepuasan - dalam melaksanakan ibadah, puas menjadi hamba ALLAH
6. cita-cita - berazam untuk menjadi hamba ALLAH yang benar-benar bertaqwa
Firman ALLAH SWT:
Sumber : Kembara Mencari Hamba
0 comments: